Pengikut

11 Mac 2013

ISU NEGARA : PERTAHANKAN KEDAULATAN NEGARA


ABDUL RAHIM NOOR


Insiden yang kita hadapi sekarang iaitu pencerobohan kumpulan bersenjata terdiri hampir 200 orang Islam dari selatan Filipina dan mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu mempunyai sejarah tersendiri yang relevan dan berkait rapat dengan penubuhan Malaysia serta pembentukan negara Filipina moden. Sebelum Malaysia diwujudkan pada 16 September 1963, Sabah yang dikenali sebagai Borneo Utara British merupakan sebuah wilayah di bawah pemerintahan kolonial Inggeris. Kedudukan Borneo Utara British yang begitu hampir dengan selatan Filipina menjadikan sempadannya, seperti dikatakan banyak pihak, bolos atau mudah ditembusi.

Pada ketika itu, seolah-olah tiada sempadan yang kukuh memisahkan kedua-dua wilayah itu. Hanya Laut Sulu yang menjadi sempadan. Keadaan geografi yang sedemikian memudahkan penduduk dari selatan Filipina memasuki Borneo Utara British sehingga menyebabkan masyarakat yang berasal dari Sulu menjadi kumpulan etnik ketiga terbesar di negeri itu selepas kaum Kadazandusun dan Cina. Malah, majoriti umat Islam di Sabah hari ini berasal dari selatan Filipina. Itu memang fakta sejarah. Era Filipina sebagai sebuah republik yang bebas dan merdeka bermula pada 1946. Sebelum itu, negara berkenaan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat iaitu Sepanyol (1565-1821) dan Amerika Syarikat (1898-1946). Saya pernah terbaca dalam sebuah buku yang menyatakan Manila yang kini menjadi ibu negara Filipina pernah diperintah oleh seorang sultan.

Mungkin sistem kesultanan yang diamalkan oleh wilayah-wilayah lain di Filipina sebelum kepulauan itu dijajah Sepanyol bukan terhad di kawasan selatan sahaja. Namun, hanya Kesultanan Sulu yang masih lagi wujud dan kawasannya meliputi Sulu, Basilan, Palawan dan Tawi-Tawi. Dalam situasi yang kita hadapi sekarang, waris-waris Kesultanan Sulu mendakwa mereka mempunyai hak yang sah ke atas Sabah dan berhasrat menjadikannya sebahagian daripada kawasan di bawah naungan kesultanan itu. Hasrat menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara British dan Sarawak disuarakan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, ketika berucap dalam satu majlis yang dianjurkan Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara di Singapura pada 1961. Indonesia dan Filipina menunjukkan reaksi yang agak cepat dan keras terhadap idea tersebut. Indonesia yang pada ketika itu di bawah pentadbiran Presiden Sukarno menuduh penubuhan Malaysia sebagai penjajahan bentuk baharu atau neokolonialisme.

Pentadbiran Presiden Diosdado Macapagal dari Filipina pula tidak bersetuju kerana pada pandangannya, pemerintah Filipina yang mewakili Kesultanan Sulu mempunyai hak ke atas Borneo Utara British. Bantahan itu diasaskan kepada satu perjanjian yang ditandatangani antara Kesultanan Sulu dan Syarikat Borneo Utara British pada 1878. Berdasarkan perjanjian itu, Borneo Utara British adalah sebahagian daripada wilayah Kesultanan Sulu. Terdapat kemungkinan kerajaan Filipina telah dihubungi waris-waris Kesultanan Sulu dan mereka meminta Macapagal menyuarakan tuntutan mereka terhadap Borneo Utara British secara terbuka serta menjadikan tuntutan itu sebahagian daripada dasar luar Filipina terhadap penubuhan negara Malaysia.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia yang dianggotai Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963 disahut dengan konfrontasi oleh Indonesia. Beberapa rundingan tiga penjuru antara Tunku Abdul Rahman, Macapagal dan Sukarno diadakan di beberapa lokasi termasuk di Bangkok dan Tokyo namun tidak meredakan tentangan kedua-dua negara itu. Pungutan suara yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada masa itu mengesahkan majoriti penduduk di Sabah dan Sarawak mahu merdeka daripada pemerintahan kolonial British menerusi penyertaan dalam Malaysia. Macapagal terpaksa menerima keputusan pungutan suara itu tetapi sehingga sekarang, kerajaan Filipina masih belum menarik balik tuntutannya terhadap Sabah. Ketegangan antara Filipina dan Malaysia nampaknya seperti sudah reda tetapi sebenarnya belum reda lagi. Bagi Indonesia, dasar konfrontasi tamat dengan berakhirnya pemerintahan Sukarno pada 1965.

Apabila Ferdinand Marcos menjadi Presiden Filipina mulai 1965 hingga 1986, tuntutan ke atas Sabah dihangatkan semula. Pendekatan Marcos yang bersifat autokratik itu tidak sama dengan Macapagal yang lebih mengutamakan diplomasi. Marcos kelihatan menggalakkan waris Kesultanan Sulu menuntut Sabah dan sikap Marcos ini menimbulkan masalah dalam hubungan antara dua negara. Dipercayai, waris Kesultanan Sulu meneruskan tuntutan ke atas Sabah selari dan sehaluan dengan dasar luar kerajaan Filipina. Semasa pentadbiran Marcos, tuntutan waris Kesultanan Sulu turut membabitkan tentera Filipina dalam projek-projek tertentu. Salah satu projek yang mereka laksanakan ialah Operasi Merdeka pada 1967. Operasi ini semacam mirip dengan insiden yang berlaku di Lahad Datu. Tentera Filipina telah melatih sekumpulan pemuda etnik Tausug dan Sama di selatan Filipina yang beragama Islam bagi membentuk satu pasukan komando yang objektifnya adalah untuk menimbulkan suasana kacau-bilau dan tidak stabil di Sabah. Tujuan operasi itu adalah untuk menunjukkan kononnya rakyat Sabah tidak suka dengan Malaysia, justeru membuktikan pungutan suara oleh PBB adalah tidak betul.

Namun, sebaik sahaja mendarat di Sabah, pasukan itu sedar mereka telah diperalatkan untuk menentang sebuah kerajaan di Sabah yang ditadbir oleh orang Islam. Ketika itu, Ketua Menteri Sabah ialah Tun Datu Mustapha Harun. Pemuda-pemuda Tausug dan Sama terbabit berpatah balik ke Filipina. Malangnya, mereka kemudiannya telah dibunuh oleh tentera Filipina bagi mengelakkan insiden ini terbongkar. Insiden pembunuhan antara 50 hingga 60 pemuda malang itu dinamakan sebagai Pembunuhan Corregidor dan orang Tausug menamakannya Pembunuhan Jabidah. Jadi, bagi saya, pencerobohan terbaharu oleh kumpulan bersenjata yang menggelarkan diri mereka tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu ini semacam ulangan terhadap insiden Operasi Merdeka yang berlaku pada 1967. Walaupun dalam bentuk dan skala yang berlainan, Operasi Merdeka mempunyai latar belakang yang sama dengan insiden di Lahad Datu sekarang.

Saya hairan mengapa sehingga kini, kerajaan Filipina masih belum menggugurkan tuntutan terhadap Sabah sedangkan ada beberapa sebab yang mewajarkan mereka berbuat demikian. Pertama, pungutan suara oleh PBB telah mengesahkan kehendak majoriti penduduk Sabah untuk bergabung di dalam Malaysia. Kedua, kerajaan Filipina sendiri sudah tidak mengiktiraf kewujudan wilayah Kesultanan Sulu. Setelah Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf Manila iaitu Sultan Mahakutta Mohamad Kiram mangkat pada 1986, kerajaan Filipina tidak melantik waris baginda sebagai Sultan Sulu yang baharu. Sultan Mahakutta Mohamad Kiram mempunyai tiga waris terdekat iaitu Sultan Jamalul Kiram III yang kini menetap di Manila; Sultan Ismail Kiram di Jolo dan Raja Muda Agbimuddin di Simunu, Pulau Tawi-Tawi. Perlu diingat, kerajaan Filipina di bawah pentadbiran Marcoslah yang telah menghidupkan semua Kesultanan Sulu apabila secara rasmi melantik Mahakutta Mohamad Kiram sebagai Sultan Sulu pada Mei 1974. Mungkin, pentadbiran Marcos mengambil tindakan itu bagi merancakkan lagi tuntutan kerajaan Filipina ke atas Sabah.

Memajakkan

Seperkara lagi, merujuk kepada perjanjian yang dibuat antara Sultan Jamalul Alam dan Syarikat Borneo Utara British pada 1878, Kesultanan Sulu bersetuju memajakkan Sabah kepada syarikat tersebut dengan bayaran cession money sebanyak 5,000 ringgit setahun. Ia semacam bayaran ufti. Jika dilihat pada istilah cession yang digunakan, ia bermaksud penyerahan. Kerajaan Malaysia semacam masih mengiktiraf perjanjian ini kerana masih membayar ufti. Yang aneh bagi saya, perjanjian itu seperti telah digantikan dengan perjanjian yang dibuat oleh kerajaan Sepanyol sebagai kuasa yang menjajah Filipina atau lebih dikenali sebagai Protokol Madrid pada 1885. Menurut perjanjian yang dibuat bersama Britain dan Jerman itu, Sepanyol bersetuju melepaskan segala tuntutan Filipina terhadap Borneo Utara British.

Kemudian, setelah Amerika Syarikat menggantikan Sepanyol sebagai penjajah di Filipina, Perjanjian Carpenter telah ditandatangani antara kuasa kolonial itu dan Kesultanan Sulu pada Mac 1915. Di bawah perjanjian ini, tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Borneo Utara British dianggap tamat sebaik sahaja Sultan Jamalul Kiram II menandatangani perjanjian tersebut dan menyerahkan kuasa politik kepada Amerika Syarikat. Melihat kepada sebab-sebab yang dinyatakan tadi, saya tidak faham mengapa kerajaan Filipina tidak mahu menarik balik tuntutan terhadap Sabah. Walaupun kita kini saling bekerjasama di dalam semangat perpaduan ASEAN, tuntutan itu masih lagi wujud sejak era Macapagal sehingga era Presiden Filipina ketika ini, Benigno Aquino.

Saya fikir kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu kini dalam keadaan terdesak kerana konsep wilayah autonomi Bangsamoro tampak mengetepikan kepentingan kesultanan itu. Soal kewujudan Kesultanan Sulu tidak disentuh dalam gagasan tersebut sedangkan beberapa pulau di selatan Filipina termasuk Basilan, Palawan, Sulu dan Tawi-Tawi adalah wilayah mereka. Waris-waris Kesultanan Sulu semacam menyedari mereka tidak lagi mendapat sokongan daripada kerajaan Filipina seperti yang pernah berlaku di bawah pentadbiran Macapagal dan Marcos. Selain itu, pada pandangan mereka, kerajaan Malaysia juga seperti tidak melayan tuntutan waris Kesultanan Sulu walaupun kita masih membayar ufti kepada mereka. Waris Kesultanan Sulu menganggap bayaran ufti itu seperti obor yang menyalakan seribu harapan atau impian. Dalam perspektif ini, mungkin mereka membuat tuntutan kini atas sebab ekonomi. Dalam hal ini, mereka mungkin hendakkan bayaran pampasan itu dibuat mengikut penilaian semasa.

Kesimpulannya dalam kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia merupakan negara yang banyak bersempadan dengan negara lain. Kita bersempadan dengan Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand dan Brunei. Sempadan maritim kita dengan negara-negara lain termasuk Filipina sememangnya agak panjang. Bagi saya, tugas mengawasi sempadan maritim sesebuah negara bukan kerja mudah. Sempadan maritim mudah dicerobohi, terutamanya jika mereka menyusup masuk dalam kumpulan kecil seperti menyamar sebagai nelayan. Jika tiada risikan awal, bukan mudah untuk mengesan penyusupan. Pakar strategi China purba, Sun Tzu dalam bukunya yang berjudul Seni Peperangan banyak menyebut tentang perlunya perisikan untuk memenangi peperangan. Apa yang penting, tentera, polis dan pihak berkuasa maritim perlu mempunyai rangkaian perisikan yang lebar dan berkesan bagi mencegah pencerobohan sempadan maritim kita.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 MAC 2013

ISU NEGARA : EPISOD SEJARAH KEDAULATAN SABAH


PROF. SALLEH BUANG
Penganalisis undang-undang.


Sukar bagi kita yang sayangkan keamanan dan kesejahteraan, membicarakan episod berdarah yang berlaku di Sabah kebelakangan ini tanpa emosi. Apa tidaknya? Bukan satu perkara biasa kita melihat penjenayah bersenjata menceroboh kampung halaman kita, menangkap jiran tetangga kita, menahan mereka sebagai tebusan, menyiksa dengan kejam dan membunuh anggota keselamatan kita - semuanya kerana, kata mereka, "Sabah adalah milik nenek moyang mereka pada satu ketika di zalam silam". Apakah benar Sabah milik nenek moyang penceroboh dan pengganas ini?

Mengikut pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim walaupun wilayah ini pada satu ketika dulu adalah sebahagian daripada wilayah Sultan Sulu, syarikat Borneo Utara British telah menguasainya sejak 1882. Mengikut Datuk Seri Dr. Rais Yatim (Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dan bekas peguam) di bawah undang-undang antarabangsa, Sabah adalah sebahagian Malaysia, satu negara yang berdaulat dan telah lama diiktiraf oleh seluruh dunia. Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1963 (pada akhir saat referendum) mendapati majoriti orang Sabah mahu menjadi sebahagian Malaysia. Nampaknya pakar sejarah setuju kesultanan Sulu adalah sebuah negara yang berdaulut sejak tahun 1457, di mana wilayahnya meliputi sebahagian Mindanao di sebelah timur, Borneo Utara di sebelah barat, dan Palawan di sebelah utara.

Sultan Sulu memperolehi Borneo Utara sebagai hadiah daripada Sultan Brunei selepas menolongnya mempertahankan negara itu daripada serangan musuh dan pemberontak. Perkara itu berlaku di sekitar tahun 1704. Pada tahun 1878, Baron Von Overbeck (warga Austria) dan Alfred Dent (seorang British) memperolehi apa yang dipercayai ramai sebagai satu "pajakan" wilayah Borneo Utara daripada Sultan Sulu. Perjanjian ini dimeterai antara Sultan Sulu (pada satu pihak) dan Overbeck serta Dent (pada pihak yang lain), kedua-duanya ini bertindak atas nama East India Company. Sebagai balasan, syarikat itu berjanji akan membayar Sultan Sulu sejumlah wang yang dipersetujui sebagai "sewaan tahunan".

Saya belum lagi berpeluang meneliti terma sebenar yang terkandung dalam perjanjian 1878 itu. Tetapi saya ada melihat kandungan perjanjian bertarikh 6 Jun 1800 antara Sir George Leith, Lieutenant-General of Penang (bagi pihak English East India Company) dan Yang di-Pertuan Raja Muda Perlis dan Kedah (bagi pihak Sultan Kedah) - yang dinamakan "Triti Persahabatan dan Perikatan" (Treaty of Friendship and Alliance). Perjanjian atau triti ini berkuasa "di laut dan di darat, selagi matahari dan bulan memancarkan cahayanya" (on sea and on land, as long as the Sun and the Moon retain their motion and splendour). Jika kita boleh ambil iktibar daripada perjanjian yang melibatkan Pulau Pinang itu, Fasal 1 dalam Perjanjian itu ada menyebutkan bahawa sejumlah wang akan dibayar kepada Sultan Kedah dan Perlis selama mana orang Inggeris "ada milikan" (continue in possession) Pulau Pinang dan Prai.

Dalam perjanjian atau triti yang mengandungi 14 Fasal itu, kita tidak jumpa istilah "pajakan" (lease). Dalam bahasa mudah, hak yang diberi oleh Sultan Kedah adalah hanya hak menduduki, bukan hak milik mutlak. Sebagaimana yang terdapat dalam perjanjian antara Overbeck dan Dent dengan Sultan Sulu, Sultan Kedah juga dijanjikan akan dibantu oleh Francis Light melawan musuhnya sebagai balasan kepada persetujuan Sultan membenarkan syarikat Inggeris itu menduduki Pulau Pinang. Sebenarnya ini hanya satu janji kosong, dan tidak ditunaikan oleh Francis Light. Tidak mustahil bila Overbeck dan Dent menandatangani perjanjian yang bersejarah itu dengan Sultan Sulu pada tahun 1878, terma dan syarikat yang serupa seperti yang terkandung dalam perjanjian 1800 melibatkan Pulau Pinang itu digunakan. Saya tidak yakin istilah moden seperti "pajakan" sudah digunakan pada masa itu.

Apa pun istilah sebenar yang digunakan, syarikat British North Borneo itu kemudian telah gagal atau enggan meneruskan bayaran kerana ia tidak pasti siapa waris Sultan Sulu yang sebenar. Akibatnya satu tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Borneo Utara pada 1939 terhadap kerajaan Borneo Utara dan syarikat. Mahkamah memutuskan bayaran hendaklah terus dibayar kepada waris Sultan Sulu yang sah, dan mahkamah mengenal pasti dan menamakan siapa mereka. Tujuh tahun kemudian, pada 10 Julai 1946 kerajaan British mengisytiharkan Sabah sebagai satu jajahan takluk British. Kita perlu ingat kembali apa yang dilakukan oleh British kepada Pulau Pinang. Jika pada mulanya Francis Light hanya dibenarkan menduduki (continue in possession) pulau itu, kerajaan British kemudian telah mengisytiharkan pulau itu sebagai satu jajahan takluk - sebagai Negeri-Negeri Selat bersama Melaka dan Singapura.

Ini amalan dan perangai buruk penjajah - mengisytiharkan wilayah dan negara yang bukan milik mereka sebagai tanah jajahan mereka! Disebabkan kuasa ketenteraan mereka, tidak ada sesiapa pun yang dapat melawan mereka. Pada 12 September 1962, Sultan Sulu, Sultan Muhammad Esmail E. Kiram 1, secara formal menyerahkan (ceded) Sabah kepada Kerajaan Filipina. Peristiwa penting ini berlaku dalam zaman pemerintahan Presiden Macapagal. Berbeza dengan hak menduduki atau "hak milikan" sahaja, satu "penyerahan" (cession) adalah pemindahan hak milik dan kedaulatan atas suatu wilayah oleh satu pemerintah kepada pemerintah yang lain. Dari sudut undang-undang, antara Sultan Sulu dan Kerajaan Filipina, hak milik terhadap Sabah sudah bertukar tangan. Oleh yang demikian, jika masih timbul persoalan "Sabah siapa punya?" pihak-pihak yang layak mengemukakan isu ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague, Belanda adalah Filipina, bukan Sultan Sulu atau waris-warisnya lagi.

Ini membawa kita kepada persoalan berikutnya. Apakah penceroboh bersenjata yang mengganas di Sabah itu waris-waris sah Sultan Sulu? Tanpa bukti yang kukuh dan meyakinkan, sukar bagi kita membuat sebarang andaian atau keputusan. Saya sempat bertanyakan isu ini kepada seorang pakar undang-undang antarabangsa, pengamal undang-undang Datuk Dr. Tunku Sofiah Jewa. Menurut beliau, daripada apa yang kita pelajari dalam kes Batu Putih (yang mana kita kalah dengan Singapura), asal usul sejarah sesebuah wilayah itu tidak penting lagi. Yang lebih penting dan diberi keutamaan adalah siapakah yang telah memerintah, mentadbir dan mempamerkan kedaulatannya di wilayah itu untuk satu jangka masa yang lama? Dalam kes Batu Putih, memang tidak ada ragu-ragu pulau kecil itu pada asalnya adalah milik Sultan Johor. Pun begitu, kita kalah kepada Singapura kerana untuk sekian lama kita biarkan Singapura mentadbir dan melaksanakan kuasanya (mempamerkan kedaulatannya - exercising its sovereignty) di pulau kecil itu.

Dalam kes Sabah, kita telah sekian lama (sejak 1963) memerintah, mentadbir dan mempamerkan kedaulatan kita - bukan Sultan Sulu atau waris-warisnya, sementara Kerajaan Filipina pula (setakat ini) belum memfailkan apa-apa tuntutannya di ICJ. Nampaknya kerajaan itu lebih mengutamakan kerangka kerjasama dalam ASEAN. Keturunan Sultan Sulu dan pengikut-pengikutnya yang menceroboh Sabah sejak sebulan yang lalu itu tidak lebih sebagai pengganas. Mereka bukan wira atau pejuang seperti yang mereka dakwa, "dalam perjalanan pulang ke wilayah asal mereka."

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 MAC 2013

06 Februari 2013

ISU PENDIDIKAN : GURU LUAR BANYAK MASALAH



Hari ini, sektor pendidikan negara ternyata bergerak cukup pantas merentasi transformasi bagi menyaingi keperluan global termasuk pengiktirafan antarabangsa. Usaha itu bukan sekadar meninggikan lagi taraf pendidikan nasional malah bukti bahawa sektor pendidikan sudah bersedia melangkau frasa globalisasi ilmu tanpa sempadan. Pelbagai usaha dipergiat­kan dari semasa ke semasa dengan pendekatan menyeluruh termasuk membawa guru dari luar negara mengajar bahasa Inggeris dan bidang teknikal. Mungkin usaha itu bagi melonjakkan lagi pencapaian sektor pendidikan nasional namun ia menimbulkan rasa kurang senang rakyat tempatan. Ia seperti menidakkan kemampuan tenaga guru tempatan dan kemungkinan mewujudkan masalah lain.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sohaimi Lazim berkata, pe­ngambilan guru dari luar bagi membantu melonjakkan sektor pendidikan negara tidak salah namun bimbang menimbulkan masalah lain. Beliau berkata, biarpun tujuan pengambilan itu positif, tetapi sensitiviti guru tempatan perlu diambil kira. “Usaha menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak adalah baik namun perlu mempunyai perancangan rapi bagi mengelak pihak lain tersinggung. Bukan tujuan mengkritik atau membangkang, namun perlu ada perbincangan mendalam sebelum mengambil apa-apa tindakan,” katanya.

Pelbagai frasa diperkenal dan diperbaharui untuk menjadikan sektor pendidikan negara setanding di peringkat antarabangsa. Antara yang giat dilakukan ialah memperkasakan modul tertentu seperti bahasa Inggeris dengan usaha proaktif membawa tenaga pengajar dari luar termasuk dari India. Bagaimanapun, ada pihak berpendapat pendekatan itu boleh mendatangkan implikasi sampingan yang boleh menjejaskan kepentingan dan masa depan guru tempatan. Lumrahnya, tenaga pengajar dari luar kurang memahami aspek budaya pembelajaran pelajar tempatan selain perbezaan sosial yang boleh mendatangkan konflik sampingan. “Dalam proses pembelajaran ini, bukan hanya modul perlu diambil kira malah kesediaan guru luar untuk menerima budaya dan sosial tempatan perlu diberi perhatian.  Mereka perlu menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat tempatan supaya boleh memahami, mendekati dan mengenali pelajar dengan lebih baik.  Meskipun matlamat pe­ngambilan guru luar adalah baik, bukan semua mampu berbuat demikian,” katanya mengakui tanpa pendekatan teliti, ia boleh menjarakkan jurang.

“Kemungkinan guru tempatan akan merasakan khidmat mereka seperti tidak berkualiti atau mendapat pengiktirafan walaupun mempunyai kelayakan. Ini bukan saja seperti memperlekehkan keupayaan mereka malah boleh menerbitkan kecenderu­ngan guru tempatan berasa terpinggir. Setiap pelaksanaan perlu ada struktur menyeluruh sebelum sebarang keputusan diambil bagi menjaga kepentingan bersama,” katanya. Ditanya adakah perlu kemasukan guru luar negara, beliau berkata ia boleh dilakukan atas faktor tertentu, tapi perlu memastikan isu berbangkit di kalangan guru dan bakal guru diselesaikan terlebih dulu. Lambakan lambakan graduan yang mengambil jurusan pendidikan, katanya, perlu diambil perhatian serius. “Setiap tahun, ramai graduan jurusan ini menanti penempatan. Bayangkan bagaimana nasib bakal guru baru jika lambakan mereka tidak ditangani dengan baik. Ada yang sudah lama menamatkan pengajian tapi masih belum ada tempat mengajar. Dari segi teori pendidikan, keadaan ini seharusnya tidak berlaku. Kita ada barisan bakal guru muda yang sangat berdedikasi dan lebih arif dengan sistem pembelajaran. Jangan kera di hutan disusukan tetapi anak sendiri mati kelaparan,” katanya.

Pengambilan guru luar negara juga biarpun bertujuan memperkukuhkan beberapa aspek pembelajaran, namun masih boleh diatasi dengan kemampuan guru tempatan. “Contohnya, pengambilan itu bertujuan memperkasakan bahasa Inggeris. Graduan kita pun boleh berbahasa Ing­geris dengan baik terutama jika mengambil pengkhususan dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua (TESL). “Jadi, tiada isu besar bahasa itu tidak boleh diajar guru tempatan. Yang perlu dilakukan ialah memberi latihan berterusan supaya kemahiran mereka lebih tinggi. Saya tidak menafikan guru luar ada pengalaman, pertuturan mereka mungkin lebih sedap, tetapi sudut lain juga perlu diambil perhatian. Isu gaji, penempatan dan keistimewaan dalam aspek tertentu harus diambil kira supaya guru luar ini tidak merungut atau berasa tidak puas hati. Kita berurusan dengan aspek pendidikan yang seharusnya dimartabatkan dengan rasa hormat, tiada kompromi dalam apa jua hal berbangkit. Jika wujud masalah, dikhuatiri akan memberi kesan kepada pelajar, yang akhirnya berbalik kepada guru, sekolah, kementerian, ibu bapa dan masyarakat,” katanya menambah acuan utama dalam proses penerusan usaha itu ialah memastikan matlamat disasarkan tidak menjadi sia - sia.

“Kita tahu proses membawa guru luar negara ini bukan mudah kerana perlu melalui pelbagai rangkaian perjanjian, tolak ansur dan kerjasama. Justeru kita mengharap­kan hasilnya juga setimpal dengan apa yang dilaburkan. Pada masa sama, hargai jasa dan jangan ketepikan peranan guru tempatan,” katanya. Tidak pula menganggap apa dilakukan itu satu pembaziran, akuinya, pendekatan itu perlu dilihat sebagai usaha padu untuk menaikkan lagi sektor pendidikan negara. “Apa dilakukan ini sebahagian transformasi berani kerajaan untuk membangun dan memberi pendidikan terbaik kepada rakyat. Usaha ini tidak salah cuma sebelum mengimplikasikannya, kita sudah bersedia dengan pelan tertentu selain jangan ketepikan keperluan guru tempatan. Kita tidak boleh berterusan bergantung kepada sumber tenaga luar, jadi guru tempatan inilah yang akan meneruskan kesinambungan proses pendidikan itu, jadi berikanlah mereka juga peranan dan keutamaan,” katanya.

Sumber : Metro Online
Tarikh : 28 Januari 2013

ISU UMUM : INISIATIF BAHARU LAHIRKAN SAINTIS TEMPATAN



Langkah kerajaan menimbang pemberian potongan dan pelepasan cukai kepada ibu bapa sebagai insentif tambahan bagi mendorong anak-anak mereka belajar dalam aliran sains adalah pendekatan yang baik. Malah, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelajar yang memilih aliran sains dicadangkan mendapat pelbagai keistimewaan lain seperti pemberian biasiswa atau derma siswa sebagai motivasi tambahan.  Langkah ini adalah sebagai inisiatif untuk meningkatkan jumlah pelajar sains yang dilaporkan masih rendah dan jauh daripada sasaran.  Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dilaporkan bercadang mening­katkan jumlah komposisi pelajar dalam aliran sains kepada 60 peratus dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang.

Kementerian juga menjangka melalui inisiatif baru itu, bilangan pelajar aliran sains boleh dipertingkatkan sekurang-kurangnya 10 peratus. Kini, hanya 20 peratus daripada 472,541 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini terdiri daripada calon aliran sains. Statistik ini pasti­nya membimbangkan.  Kemerosotan jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran sains sepatutnya tidak berlaku kerana dasar pengambilan yang ditetap­kan adalah 60 peratus sains dan teknikal serta 40 peratus sastera atau nisbah 60:40.  Namun, kajian jawatankuasa kumpulan pakar dari wakil universiti dan ahli akademik me­ngesahkan memang berlaku kemerosotan dalam bilangan pelajar yang mengikuti aliran sains di negara ini.  Kajian itu mendapati kemerosotan itu berpunca daripada masalah tenaga pengajar, tiada dorongan atau perhatian ibu bapa dan masalah berkaitan kemudahan seperti makmal tidak leng­kap serta bilik darjah yang tidak dapat menampung bilangan pelajar yang besar.

Pendedahan laporan jawatankuasa ini cukup menarik dan amat signifikan untuk diteliti dan diberi perhatian khusus dan serius oleh semua pihak yang terbabit iaitu pihak kementerian, sekolah, guru dan ibu bapa.  Kita percaya bilangan guru yang ada masih mencukupi malah ia boleh ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.  Namun, isu utama ialah kaedah pengajaran di bilik darjah. Seperti yang dilaporkan kaedah pengajaran sekarang lebih menitikberat­kan aspek teori yang menjadi batu penghalang untuk menarik minat pelajar mendekati subjek Sains.  Kita perlu sedar zaman berubah dengan teknologi semakin canggih malah perlu menerima hakikat pelajar sekolah zaman sekarang jauh lebih ke hadapan daripada guru dalam beberapa aspek pengetahuan teknologi terkini terutamanya gajet.  Justeru, memang wajar kementerian melihat dan menyemak semula subjek sains secara menyeluruh agar dapat diberi nafas baru supaya elemen amali diberi tumpuan.

Di samping itu, guru juga sentiasa perlu diberi latihan tambahan supaya bukan saja dapat mengemas kini dan memperlengkapkan diri dengan perkembangan sains dan teknologi terkini, tapi mempelbagaikan corak dan kaedah pengajaran di bilik darjah agar lebih kreatif dan inovatif.  Pelajar perlu ‘dipujuk’ ikut rentak dan cita rasa mereka sendiri supaya tertarik dan berebut untuk memasuki aliran sains dan bukannya dipaksa untuk memilih bidang sains. Dalam hal ini, kaedah pengajaran secara tradisional dan konvensional tidak lagi relevan.  Dalam pada itu, usaha memupuk minat terhadap bidang sains kepada anak-anak kita pastinya akan gagal jika ibu bapa tidak memainkan peranan.  Ibu bapa sewajarnya mendorong anak-anak mereka untuk mendekati bidang sains sejak kecil. Ketakutan mahupun fobia terhadap sains perlu dielakkan.

Pelbagai usaha boleh dilakukan untuk tujuan pendedahan serta untuk menarik minat mereka seperti pembelian lebih ba­nyak buku dan majalah sains, lawatan ke tempat mahupun pameran sains dengan kerap serta mendidik dan menerap­kan kepentingan dan kelebihan bidang sains.  Kita juga berharap agar isu kemudahan dan prasarana yang dibangkitkan seperti kemudahan makmal tidak lengkap serta keadaan bilik darjah yang tidak dapat menampung pertambahan bilangan pelajar sains wajar diberi perhatian serius oleh pihak kementerian juga sekolah.  Prasarana ini adalah perkara asas yang perlu ada dan wajib disediakan dulu andai kita mahu menarik lebih ramai lagi pelajar memilih bidang sains sebagai pilihan utama. Kita tidak mahu kekangan prasarana menjadi batu penghalang dalam usah meningkatkan bilangan pelajar sains.

Semua pihak perlu sedar negara perlukan pakar sains dan teknologi dari pelbagai bidang sub-kepakaran sains dan teknologi bagi terus memacu impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Kita bukan saja mahu maju dengan cara dan acuan kita sendiri tapi juga mahu maju dengan hasil kerja anak-anak tempatan.  Justeru, diharapkan KPM meneliti secara terperinci kesemua 15 cada­ngan yang dikemukakan jawatankuasa kerja terbabit dan melaksanakan inisiatif yang difikirkan sesuai demi mencapai hasrat meningkatkan lagi jumlah pelajar sains di negara kita.

Sumber : Metro Online
Tarikh : 28 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : TIBA MASANYA PENCAPAIAN PELAJAR LELAKI MENINGKAT


Oleh : Ruhaiza Rusmin


Jurang dominasi pencapaian akademik yang ketara di antara pelajar lelaki dan perempuan bukan isu yang boleh dipertikaikan. Namun, kebimbangan pelbagai pihak mengenai jurang sedia ada perlu diberi perhatian demi memastikan proses kelangsungan pendidikan antara dua gender itu dapat diimbangi dengan baik. Penguasaan pelajar perempuan dalam pencapaian akademik yang sentiasa cemerlang bagai memberi isyarat bahawa pencapaian pelajar lelaki mesti diperbaiki jika tidak mahu terus ketinggalan. Biarpun sistem pendidikan yang diguna pakai tiada bezanya untuk mengukur kapasiti pencapaian dua gender, mengapa pencapaian pelajar lelaki tetap tidak setara?

Biaroun kemampuan pelajar lelaki sering kali dikatakan agak ketinggalan, namun mereka masih boleh berjaya jika disokong dengan cara yang betul. Ini menimbulkan persepsi, pelajar lelaki memang mempunyai tahap kepandaian rendah berbanding pelajar perempuan hingga menjadikan mereka ‘populasi’ yang semakin mengecil dalam pencapaian akademik. Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Profesor Dr Othman Lebar berkata, memang ada perbezaan tahap perkembangan di antara pelajar lelaki dan wanita Beliau berkata, biarpun dominasi pencapaian akademik lebih terarah kepada perempuan, akan tiba masanya lonjakan pencapaian pelajar lelaki mengatasi pelajar perempuan. “Perkara ini tidak mustahil kerana proses pengembangan, cara berfikir dan pendedahan berbeza. Pada peringkat awal, kecemerlangan pelajar perempuan agak ketara kerana mereka terdidik dengan sistem pembelajaran berstruktur,” katanya.

Berdasarkan kajian beliau pada 2008, pelajar perempuan secara biologikal memang mempunyai potensi menyerlahkan kematangan pada usia tertentu biarpun di sekolah rendah. Kematangan pelajar perempuan, katanya, boleh dilihat apabila mereka sangat teliti sewaktu membuat kerja sekolah, sering membawa buku dan khusyuk di dalam kelas. “Sebaliknya pelajar lelaki lebih banyak bermain, bergurau senda dengan mengusik kawan dan hanya mampu memberi perhatian pada pelajaran pada 15 minit pertama. Perbezaan biologikal ini memang fitrah kerana secara normalnya, perempuan memang cepat matang. Tapi kematangan lelaki dalam berfikir boleh menjadi sangat pantas apabila berada pada tahap tertentu. Pada waktu itu, lelaki berfikir menggunakan akal tapi perempuan menggunakan emosi,” katanya.

Katanya, ibu bapa tidak perlu risau jika melihat anak lelaki mereka leka bermain serta liat membaca buku. “Kemampuan mereka menyerap maklumat, memahami proses pembelajaran dan mengulang kaji tidak sama dengan pelajar perempuan. Tapi mereka tetap boleh fokus,” katanya. Melalui hasil kajian itu, beliau mendapati masalah ketidakseimbangan pencapaian akademik antara dua gender itu sudah berlaku sejak 1960-an termasuk di negara maju. “Ini berkait rapat dengan nilai etika dan budaya. Lelaki sering ditafsirkan sebagai golongan yang banyak memikul tanggungjawab dan melihat proses pembelajaran itu lebih bersifat fizikal. “Perempuan pula melihat proses pembelajaran itu seperti satu seni dan perlu dilakukan atas dasar tanggungjawab. Kontra itu menjadikan pelajar lelaki menganggap belajar skopnya sangat meluas bukan sekadar akademik semata-mata sedangkan pelajar perempuan sebaliknya,” katanya.

Di negara maju, katanya mereka turut berdepan dilema ini. Pelajar lelaki banyak yang tercicir dalam akademik tapi akhirnya menjadi insan berjaya. “Nama-nama seperti Bill Gates tidak cemerlang dalam akademik tapi menggunakan kepandaian lain untuk berjaya. Ini juga panduan yang baik supaya ibu bapa tidak terlalu gusar dan tertekan jika anak tidak terarah kepada akademik, sebaliknya subjek berbentuk teknikal,” katanya. Beliau menyarankan agar ibu bapa memberi sokongan kepada anak lelaki jika mereka menunjukkan kecenderungan dalam subjek tertentu. “Ada kalanya, ibu bapa mempunyai persepsi buruk jika melihat anak lelaki lebih teruja kepada Internet, sukan, Discovery Channel berbanding membaca buku. Biarkan kerana pada masa itu mereka sedang menggunakan kreativiti serta keterujaan untuk memperoleh sumber maklumat yang boleh membantu dalam proses pembelajaran. Jangan sekat atau membebel kerana ia akan membantutkan kegigihan mereka untuk belajar. Perlu diingat cara belajar pelajar lelaki dan perempuan berbeza,” katanya.

Malah, kajian itu membuktikan pelajar lelaki lebih berminat kepada aspek teknikal, sains dan matematik tetapi bermasalah dalam subjek Bahasa Melayu dan Inggeris. Kecenderungan itu, katanya, boleh membawa kepada peningkatan pencapaian tahap berikutnya dan jika diberi dorongan berterusan, mereka boleh berjaya. “Tapi kecemerlangan itu tidak hanya diukur melalui tahap pencapaian akademik semata-mata. Mungkin pencapaian akademiknya sederhana tapi kerana ada pengetahuan teknikal, itu satu kelebihan. Dan selalunya pelajar lelaki ini, sekali diberi peluang menunjukkan kemahiran atau minat, mereka boleh terus memacu kecemerlangan sama di sekolah atau institusi pengajian tinggi,” katanya.

Ditanya adakah ini menunjukkan pencapaian pelajar wanita hanya pada tahap tertentu, beliau menafikan, sebaliknya menegaskan mereka mampu meneruskan kecemerlangan. “Buktinya institusi pengajian tinggi negara banyak didominasi pelajar perempuan. Cuma persoalannya, apakah bidang diikuti itu mampu memberi pulangan setimpal sebaik tamat pengajian? Tolak tepi penguasaan dalam bidang kritikal seperti perubatan tapi melihat senario pekerjaan hari ini, dominasi tenaga kerja berprestij atau berkemahiran banyak didominasi pelajar lelaki. Ini membuktikan sampai tahap tertentu, pelajar lelaki mampu membina kecemerlangan sendiri yang menyamai atau melebihi pelajar wanita. Justeru, usah gusar jika pelajar lelaki sering ketinggalan. Percayalah bahawa kebolehan setiap pelajar berbeza dan mereka ada keistimewaan masing-masing,” katanya.

Sumber : Metro Online
Tarikh : 7 Januari 2013

03 Februari 2013

ISU UMUM : ASIA TENGGARA BUKAN LAGI LUBUK PENGGANAS


Begitu menarik sekali apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan ancaman militan Islam di rantau Asia Tenggara telah banyak berkurangan hasil daripada kerjasama dan persefahaman antara negara yang terkena tempias sama ada secara langsung atau tidak.

Mengambil contoh kerjasama antara Malaysia, Filipina dan Indonesia, kejayaan mengurangkan pengaruh kumpulan militan yang bersimpati dengan perjuangan Al-Qaeda tidak dapat dinafikan telah membawa kesan positif yang begitu ketara.

Beliau membuat hujah tersebut pada sesi bertajuk An Insight, An Idea with Najib Tun Abdul Razak yang disiarkan oleh penyiar antarabangsa CNN sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, beberapa hari lepas.

Hujah tersebut disokong oleh kejayaan Kuala Lumpur sebagai perantara rundingan antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sehingga berjaya merungkai kemelut yang telah berlarutan lebih empat dekad yang mengorbankan lebih 120,000 nyawa.

Tiada pihak yang boleh menafikan bahawa keamanan dan kestabilan di selatan Filipina adalah satu suasana yang tidak akan memberi peluang kepada kumpulan radikal dan militan Islam untuk berkembang dan mempengaruhi pihak yang bersimpati dengan ideologi mereka.

"Itu merupakan sumbangan besar ke arah keamanan dan pewujudan Islam lebih sederhana di Asia Tenggara," tegas Najib. Malah tidak keterlaluan juga jika diandaikan Asia Tenggara bukan lagi boleh dilabelkan sebagai pusat pengganas militan Islam. Asia Tenggara kini boleh dijadikan model bagaimana untuk menangani masalah tersebut.

Negara yang dikatakan mempunyai masalah dengan kumpulan radikal atau militan Islam perlu mengambil iktibar dengan pendekatan sederhana yang diamalkan oleh beberapa negara Asia Tenggara. Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman umpamanya sering berhadapan dengan isu ini tetapi kurang berjaya menangani atau mengurangkan ancaman yang dihadapi setiap hari.

Jika beberapa tahun lepas negara maju ini sering membuat tuduhan bahawa ancaman keganasan global sering didalangi oleh anasir dari Dunia Ketiga seperti Afrika, Arab dan juga Asia, tetapi hari ini sebaliknya pula yang berlaku iaitu pengganas kebanyakannya berasal dari negara maju.

Perancis umpamanya yang mempunyai penduduk seramai 65 juta orang dan menampung kumpulan penduduk Yahudi dan Islam terbesar di Eropah dalam keadaan yang sentiasa genting kerana komposisi penduduk yang bertentangan. Peristiwa keganasan yang mengorbankan tujuh nyawa di Toulouse pada tahun lepas adalah manifestasi ancaman yang dihadapi Perancis saban hari. Keganasan tersebut didalangi oleh Mohamed Merah seorang rakyat Perancis yang berasal dari Algeria.

Kini Kanada pula menghadapi ancaman keganasan yang didalangi oleh rakyat mereka sendiri. Kejadian rampasan di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) In Amenas, Algeria yang dikatakan diketuai oleh pengganas rakyat Kanada adalah satu perkembangan yang agak mengejutkan.

Walaupun belum mendapat pengesahan muktamad, Perdana Menteri Algeria, Abdelmalek Sellal telah menamakan Shadad Muhammed Amin dan juga Abdallah sebagai rakyat Kanada yang mendalangi serangan yang mengorbankan 37 tebusan termasuk dua rakyat Malaysia.

Kanada sebenarnya tidak pernah sunyi dengan ancaman keganasan yang didalangi oleh rakyat mereka sendiri. Mengikut kenyataan agensi risikan Kanada CSIS, pada ketika ini seramai 250 rakyat mereka sedang diawasi kerana disyaki terlibat dengan aktiviti keganasan. CSIS juga mengesyaki seramai 60 rakyat Kanada telah menyertai kumpulan radikal lain di Afghanistan, Yemen, Pakistan dan Somalia.

Masalah yang dihadapi oleh Kanada yang mempunyai penduduk imigran yang pelbagai, aktiviti keganasan tidak hanya tertumpu kepada satu kumpulan etnik sahaja. Rakyat mereka yang telah didakwa berasal dari berbagai negara dan keturunan seperti Afrika Utara (termasuk Algeria), Parsi, Arab dan Asia Selatan.

Perdana Menteri Kanada Stephen Harper telah melabelkan kegiatan militan Islam sebagai ancaman keselamatan paling meruncing yang dihadapi oleh negaranya dan sebagai salah satu usaha kekangan beliau telah melancarkan Projek Kanishka pada tahun 2011. Projek yang mengambil masa lima tahun ini memberi tumpuan khas kepada kaedah menangani ancaman militan Islam rakyat Kanada.

Sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa menilai kembali strategi menangani keganasan kerana senario telah banyak berubah. Masalah yang dihadapi oleh Kanada bukan satu kes yang terpencil kerana ia juga sedang dihadapi oleh negara maju yang lain.

Rakyat Kanada yang terlibat dengan keganasan adalah daripada kumpulan imigran generasi kedua dan ketiga yang begitu sebati dengan cara hidup majoriti penduduk Amerika Utara.

Jika selama ini AS, Britain, Perancis dan juga Jerman sering membuat tuduhan penduduk imigran yang terlibat dengan keganasan adalah dari kumpulan yang tidak mahu menerima cara hidup negara yang didiami, tetapi hari ini dalil tersebut tidak lagi boleh digunakan.

Menarik dalam hal ini dikaitkan sekali lagi saranan Najib untuk menangani keganasan yang diutarakan dalam wawancara khas CNN. "Pada masa lalu terdapat tindakan bersifat militan yang 'tidak dapat dielakkan', tugas pada masa kini ialah mengadakan perbincangan dengan golongan fundamentalis Islam dan memujuk mereka untuk mengamalkan pendekatan Islam sederhana," tegas beliau.

Jika diterjemahkan saranan tersebut, pendekatan sederhana bukan sahaja perlu dipraktiskan oleh masyarakat beragama Islam, tetapi juga oleh masyarakat antarabangsa apabila berhadapan dengan isu militan Islam.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 31 Januari 2013

ISU GLOBAL : PERANAN ANTARABANGSA MALAYSIA KIAN MENCABAR


Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK
afifi@uum.edu.my / afifirazak@gmail.com
Pensyarah sains politik, Pusat Pengajian Antarabangsa,
Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia.

Kejayaan peranan antarabangsa Malaysia pada hari ini ialah usahanya dalam konteks penyelesaian konflik serantau dan antarabangsa semasa. Sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan dan keselamatan sejagat, Malaysia sangat perihatin terhadap pelbagai isu dan konflik yang boleh menjejaskan keamanan negara, serantau dan antarabangsa. Malaysia telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa strategi pengurusan konflik secara aman telah berjaya membantunya menghapuskan ancaman komunis dalam negara.

Di peringkat serantau, Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara yang berjiran dengannya serta menggunakan platform ASEAN bagi menguruskan pelbagai konflik yang berlaku di sekitar sempadannya. Selepas beberapa tahun, usaha diplomasi Malaysia ini telah terbukti berjaya.

Sebagai contoh, peranan Malaysia dalam mengurus dan menyelesaikan konflik di Pulau Mindanao, selatan Filipina telah mendapat pujian daripada banyak pihak, pemerhati antarabangsa serta PBB. Misi diplomasi Malaysia di Pulau Mindanao berakhir dengan termeterainya proses damai antara Bangsamoro dengan kerajaan Filipina.

Berikutan dengan kejayaan ini, Malaysia sedang cuba 'menjual' peranan diplomasiya kepada beberapa buah negara lain yang sedang menghadapi masalah yang sedemikian rupa seperti Myanmar (isu Rohinya) dan Thailand (isu selatan Thai). Yang terkini, Malaysia sedang berusaha sedaya upaya untuk menjadi 'perunding damai' di antara Hamas dan Fatah di Palestin.

Tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, atas usaha dan keberanian beliau untuk berusaha menjejakkan kaki ke bumi Palestin yang sedang hebat bergolak. Sesungguhnya, kehadiran Najib pasti menjadi pembakar semangat kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam sejagat untuk terus berjuang bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis Israel.

Pun begitu, apa yang telah dicapai oleh Malaysia sekarang sebenarnya hanya satu permulaan kepada satu episod baru dalam kancah dunia politik antarabangsa era globalisasi. Apatah lagi, bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia yang ingin mencapai status sebagai sebuah 'negara kuasa pertengahan' (middle power state), cabaran yang bakal dihadapinya mulai daripada sekarang dan akan datang adalah semakin mencabar dan berliku.

'Negara kuasa pertengahan' ialah satu konsep yang merujuk kepada status sesebuah negara yang bukan 'besar' dan bukan 'kecil' tetapi boleh berdikari serta mampu memberikan impak penting dalam konteks politik antarabangsa. Malaysia, pada ketika ini sedang mempersiapkan dirinya menjadi sebuah 'negara kuasa pertengahan'.

Sememangnya, usaha dan peranan antarabangsa Malaysia khasnya dalam menyokong idea PBB bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat menerusi pendekatan penyelesaian konflik secara aman dan tindakan multilateralisme yang dijana menerusi platform PBB telah memperlihatkan tindakan dasar luar Malaysia sebagai bakal sebuah 'negara kuasa pertengahan'.

Dan sekiranya status ini berjaya dicapai oleh Malaysia, ia bakal meletakkan negara ini sebaris dengan 'negara-negara kuasa pertengahan' yang tersohor pada ketika ini seperti Kanada, Brazil, India, Korea Selatan, dan Jepun.

Pendekatan Wasatiyyah yang dianjurkan oleh Malaysia dalam konteks penyelesaian konflik antarabangsa sememangnya merupakan satu pendekatan yang baik dan bijaksana. Banyak negara dunia telah menyambut baik pendekatan ini kerana ia bersifat sangat universal. Jikalau melihat kepada logik akal, tiada siapa pun mahu melihat kemusnahan dan kematian.

Ramai yang pasti bersetuju sekiranya semua konflik dan krisis antarabangsa dapat di selesaikan secara aman tanpa melibatkan kemusnahan dan pertumpahan darah. Tetapi persoalannya, apakah semua pihak yang sedang berkonflik termasuk pihak-pihak tertentu yang berkepentingan serta negara-negara kuasa besar dunia benar-benar bersetuju dengan pendekatan ini?

Dalam hal yang sebegini, bersikap positif dan berbaik sangka adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan. Tetapi kalau disingkap sejarah silam politik antarabangsa, kita akan dapati keadaan sebaliknya sedang berlaku dan ia sangat mengecewakan.

Realitinya, dalam konteks pengurusan dan penyelesaian konflik antarabangsa, negara-negara kuasa besar dunia pada hari ini lebih menyukai pendekatan secara kekerasan daripada pendekatan secara aman. Mereka lebih cenderung kepada peperangan yang sudah pasti membawa kepada kemusnahan dunia dan kematian manusia yang tidak berdosa.

Andaian ini boleh disokong dengan beberapa fakta yang sangat menarik untuk difikirkan bersama, sebagai contoh:

(i) Perubahan peranan misi pengaman antarabangsa daripada hanya misi pengaman kepada 'misi campur tangan ketenteraan' (military intervention).

(ii) Peningkatan krisis dan konflik antarabangsa di negara-negara yang menolak demokrasi.

(iii) Peningkatan jumlah misi pengaman antarabangsa sama ada di bawah seliaan PBB dan agensi bukan PBB (seperti NATO, EU dan pertubuhan-pertubuhan serantau).

(iv) Peningkatan jumlah pengeluaran dan penjualan senjata oleh negara-negara kuasa besar dunia.

(v) Peningkatan jumlah pembelian senjata oleh negara-negara membangun dan miskin seperti di Afrika, Asia dan Amerika Selatan.

(vi) Sokongan kuat sama ada oleh PBB dan negara-negara kuasa besar dunia terhadap usaha campur tangan asing dalam konflik di negara-negara membangun (seperti di Iraq, Afghanistan, Syria dan yang terkini di Mali).

PBB, sebagai badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan tadbir-urus dunia sejagat (global governance) pula semakin hari semakin hilang 'taring'nya. Hari ini, banyak usaha misi pengaman antarabangsa yang sebelum ini diterajui oleh PBB telah 'diswastakan' kepada agensi bukan PBB yang jelas sekali mempunyai pelbagai kepentingan yang terselindung.

Misi pengaman antarabangsa pada hari ini telah hilang sifat collective security dan 'multilateralismenya'. Ia tidak ubah seperti misi untuk mempertahankan kepentingan nasional negara-negara tertentu dan berkepentingan di PBB.

Lihatlah apa yang telah berlaku kepada misi-misi pengaman antarabangsa di beberapa buah negara seperti Bosnia, Somalia dan Rwanda. Ia adalah antara contoh misi-misi pengaman yang gagal sementara krisis di beberapa buah negara lain seperti di Palestin dibiarkan berlarutan.

Banyak yang telah ditulis oleh sarjana-sarjana Barat mengenai sikap negara-negara kuasa besar dunia ini. Sebagai contoh, Michael Pugh dalam artikelnya 'Peacekeeping and Critical Theory' (2004) terbitan Jurnal International Peacekeeping menulis mengenai bagaimana peranan 'New York Orthodoxy' di PBB mencatur perkembangan politik antarabangsa.

Robert Cox dalam artikelnya yang bertajuk 'Critical Political Economy' (1995) menulis mengenai bagaimana institusi kewangan antarabangsa mengatur dan memanipulasi sistem ekonomi antarabangsa supaya lebih menguntungkan negara-negara kuasa besar dunia dan menjadikan negara-negara lain yang bukan Barat untuk kekal menanggung hutang yang tinggi.

Mark Duffield pula dalam bukunya yang bertajuk 'Global Governance and the New Wars: The Merging of Development and Security' (2001) mengatakan bahawa sebenarnya isu global pada hari ini bukanlah sangat mengenai isu terrorisme tetapi sebalik isu bagaimana negara-negara kuasa besar dunia dapat menyuntik fahaman liberalisme dan demokrasi serta membentuk jaringan konflik yang tidak liberal ke seluruh pelosok dunia khasnya di negara-negara yang bukan Barat.

Demikianlah sikap 'talam dua muka' (double-standard) negara-negara kuasa besar dunia terhadap negara-negara lain dalam konteks politik antarabangsa semasa. Ini sebenarnya menjadi satu cabaran besar bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia untuk menempatkan dirinya sebagai bakal 'negara kuasa pertengahan' berbekalkan prinsip Wasatiyyah.

Semoga Malaysia berjaya menjadi sebuah negara contoh yang gigih berusaha dengan segala kemampuan yang ada demi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat terpelihara daripada 'ancaman' negara atau pihak yang berkepentingan ini.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30 Januari 2013

ISU SOSIAL : IKHTIBAR INSIDEN KEHILANGAN KANAK-KANAK


DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, 
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Trauma dengan pelbagai berita dalam beberapa minggu ini melibatkan kehilangan kanak-kanak yang ditinggalkan dalam kereta untuk seketika menjadi satu fenomena yang dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia. Beberapa insiden yang berlaku pada hari ini sudah jadi fobia dan macam berangkai pula kanak-kanak hilang dan yang nyaris hilang. Situasi ini memberi amaran kepada kita bahawa komuniti di Malaysia sekarang dalam zon kurang selamat kerana masyarakat kurang peka dan mula alpa. Di mana sahaja kita berada kini, kita perlu berwaspada dan berhati-hati sepanjang masa kerana sebenarnya ada banyak ekor mata yang mengekori pergerakan dan sentiasa memerhatikan kita. Golongan ini hanya tunggu masa untuk bertindak. Bertindak bukan sahaja melarikan kanak-kanak malah merompak, meragut merangkumi segala jenayah yang kita tidak pernah terfikir mereka tergamak melakukan tanpa memikirkan soal kemanusiaan. Di mana hati nurani manusia dan di mana silapnya?

Pada pandangan saya, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu tegur-menegur jika kita ternampak insiden yang tidak kena seperti kanak-kanak yang ditinggalkan dalam keadaan yang bahaya kepada ibu bapanya. Namun, dalam situasi ini, ibu bapa juga harus sedia menerima teguran. Jangan pula yang salah faham dan kecil hati bila ditegur dan dikatakan menyibuk dan jaga tepi kain orang. Itulah keluhan yang saya sering dengar dan akhirnya mereka yang berniat baik ini menjawab biarlah memang itu bukan urusan kita. Jika semua memberikan jawapan yang sama nanti, bagaimana kita dapat mencari penyelesaiannya. Kita memahami perasaan ibu bapa yang kehilangan anak mereka walaupun beberapa minit, kita sudah tidak keruan dan jadi tidak tentu hala, apatah lagi kehilangan dah masuk berminggu-minggu.

Sebagai ibu bapa kadang-kadang kita tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan dan alpa seketika kerana memikirkan hanya sekejap sahaja ditinggalkan tidak akan berlaku apa-apa, akhirnya kerana beberapa minit itu kita menjadi sengsara. Jika boleh diputar waktunya, semestinya semua kejadian ini kita tidak mahu berlaku seperti kes yang pernah berlaku kepada Sharlinie dan Nurin Jazmin. Kealpaan kita dikejutkan kembali dengan beberapa insiden tahun ini yang mula memberi amaran kepada kita dan tidak perlulah pada waktu begini kita salah menyalahi lagi di atas kecuaian ibu bapa kerana mereka sudah cukup derita menanggung segala cubaan ini. Apa yang penting ialah kita perlu ingat-mengingati antara satu sama lain supaya jangan tinggalkan anak-anak walaupun seketika.

Kehilangan anak dalam sekelip mata menyentuh jiwa setiap ibu bapa tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Kesepakatan kita bersama turun padang membantu dan mencari seorang kanak-kanak yang hilang iaitu WilliamYau Zhen Zhong berusia 6 tahun dan akhirnya segalanya terjawab dengan penemuan mayat William di Jeti Sungai Sireh di Pelabuhan Klang. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan hati saya terdetik dan sayu apabila mendapat berita kematian William sedangkan pada waktu itu saya sedang menaip dalam ruangan ini supaya menyeru semua pihak turun padang mencari William. Saya terbayang wajah William setelah melihat ramai kanak-kanak berbangsa Cina di kompleks beli-belah begitu sibuk bergembira menanti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan tiba tidak lama lagi. Bagaimana dengan perasaan ibu bapa William yang sepanjang masa menunggu panggilan telefon yang mengharap khabar gembira dengan penemuan William yang dapat menyambut Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga akhirnya punah.

Kes Tin Song Sheng yang berlaku 17 tahun lalu juga berlaku sebelum Tahun Baharu Cina juga dan belum Song Seng ditemui hingga kini. Penantian itu sememangnya satu penyiksaan yang menyakitkan, apatah lagi jika yang disampaikan berita buruk? Namun ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan kes William sebagai main-main. Pengerusi Wanita MCA Selangor, Chew Lee Giok berharap pihak berkuasa memberi peluang dan tidak mencaci ibu bapa William yang menyesal dan menyedari kecuaian mereka. Semua pihak yang telah berganding bahu membantu mencari William tanpa mengira bangsa dan agama mencerminkan negara Malaysia sememangnya mempunyai semangat 1Malaysia.

Kita dikejutkan lagi dengan insiden di Kemaman kerana sangkaan kita pada waktu malam sahaja yang berbahaya namun di waktu pagi dalam pukul 10:30 pagi, sepasang suami isteri yang berhenti di stesen minyak kerana anaknya yang masih tidur di dalam kereta untuk ke tandas dilarikan oleh suspek. Nasib baik ada insan bernama Saufi Sukardi yang mengejar suspek. Sikap Saufi perlu dipuji. Itulah peranan sebagai rakyat yang sama-sama membantu memerangi jenayah. Insiden sebegini kita jadikan iktibar bersama dengan dijadikan garis panduan supaya kita lebih berhati-hati. Beberapa minggu ini, kita berkesempatan bercuti dengan beberapa perayaan penting terutama bersama-sama anak-anak kita. Tidak kira ke mana sahaja, kita perlu berwaspada dan jangan biarkan kanak-kanak keseorangan walaupun hanya sesaat. Ayuh! selagi kita mampu, kita luangkan sedikit masa untuk sama-sama memikirkan cara-cara menangani masalah jenayah yang semakin menjadi-jadi. Kita sentiasa beringat "Pelanduk selalu melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk".

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 29 Januari 2013

ISU UMUM : CABARAN TANGANI TEBUSAN


Oleh NURUL ANUAR KARI

Peristiwa keganasan yang melibatkan penculikan dan penahanan tebusan semakin kerap kedengaran dalam dunia 'tanpa sempadan' kini. Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali sama ada menjadi tebusan di dalam atau luar negara, mahupun diculik di dalam negara sebelum dilarikan ke tempat lain bagi menuntut wang tebusan.

Walaupun kejadian melibatkan warganegara Malaysia tidak banyak dan terhad, catatan kes terus meningkat berikutan suasana semasa memudahkan rakyat tempatan tinggal, belajar atau bekerja di luar negara.

Ini mendedahkan mereka kepada bermacam kebarangkalian yang sama dihadapi penduduk setempat di tempat tersebut termasuk bencana alam, ancaman pengganas, masalah perundangan, pergeseran sosial, jenayah dan bermacam lagi.

Jika situasi tebusan berlaku di dalam negara, maka semuanya bergantung kepada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk menguruskannya mengikut cara tersendiri.

Namun, jika berlaku di luar negara ataupun jika rakyat Malaysia diculik dan dibawa keluar, semuanya bergantung kepada pihak berkuasa negara terlibat memandangkan ia melibatkan batasan bidang kuasa dan hubungan diplomatik antara kerajaan kedua-dua negara.

Rekod pengurusan situasi tebusan menunjukkan pihak berkuasa Malaysia lebih gemar memilih cara lembut melalui rundingan bagi mengurangkan risiko kepada tebusan daripada serbuan bersenjata yang diamalkan pihak berkuasa di beberapa negara lain.

Bagaimanapun, sebarang tindakan perlu disesuaikan mengikut keadaan dengan keutamaan paling tinggi adalah untuk mendapatkan kembali rakyat Malaysia dalam keadaan selamat ke pangkuan keluarga mereka.

Ada kalanya tindakan yang diambil gagal menyelamatkan kesemua mangsa tebusan, ada ketika kejayaan besar yang boleh dibanggakan dan ada juga masanya kerajaan dan pihak berkuasa hanya menjadi pemerhati, mengharapkan pihak berwajib di negara terbabit dapat melakukan yang terbaik untuk semua.

Di penghujung hari, susah atau senang sedih mahupun gembira tetap dikongsi bersama setiap rakyat negara ini yang mengakui dirinya warganegara Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum, agama, pangkat dan harta.

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 3 Februari 2013

27 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : KOUTA TAMBAHAN KEMASUKAN KE IPTA SESI 2013


Sebanyak 100 kuota tambahan disediakan di setiap institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik di seluruh negara kepada pelajar yang layak namun tercicir, atas faktor sosioekonomi pelajar terbabit. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya mendapati ramai pelajar yang menepati syarat kelayakan memasuki IPTA dan politeknik, namun terkandas kerana tidak mampu bersaing dengan pelajar cemerlang berasaskan prinsip meritokrasi. Negara memiliki 32 politeknik dan 20 IPTA dan berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 5,200 kuota tambahan kemasukan IPTA akan disediakan.

Mohamed Khaled berkata, golongan ini adalah pelajar yang lulus syarat am dan program tertentu di universiti dan adalah dalam kategori miskin bandar, miskin luar bandar, minoriti, kaum asli dan ibu bapanya daripada golongan orang kurang upaya (OKU). "Kita ada 32 politeknik dan 20 buah IPTA di seluruh negara, jadi setiap satu akan menyediakan kuota tersebut. Ia akan mula dilaksanakan tahun ini bagi semua jurusan pengajian bagi program diploma dan ijazah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi 2013 serta penyampaian Baucar buku 1Malaysia (BB1M) di Universiti Malaya di sini semalam. Karnival berkenaan bertujuan memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sebagainya mencari maklumat cara-cara untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan memperluaskan lagi akses pendidikan tinggi selepas mengambil kira golongan pelajar yang layak namun tidak bernasib baik. Beliau berkata, pada tahun ini, sejumlah 160,000 tempat disediakan untuk kemasukan ke IPTA serta Institut Latihan dan Kemahiran, dan ia tidak termasuk 130,000 peluang kemasukan ke IPTS. "Kemasukan pelajar baharu bagi kalendar akademik IPTA sesi 2013 dan 2014 akan bermula pada 1 dan 2 September bagi pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan setaraf bagi program ijazah pertama, 2 Jun bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan setaraf bagi program diploma dan 26 Mei bagi program asasi," katanya. – Bernama

Sumber
Kosmo Ahad
27 Januari 2013

25 Januari 2013

ISU PENDIDIKAN : WUJUDKAN SEKOLAH BERTERASKAN KEUSAHAWANAN


Rencana ini ditulis oleh :
Rohami Shafie
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Pusat Pengajian Perakaunan,
Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi,
Universiti Utara Malaysia.


Sesi persekolahan 2013 sudah bermula. Bagi yang memperoleh kesemua A dalam UPSR, mereka ditawarkan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Namun demikian, tempatnya amatlah terhad, maka bukan semua pelajar yang cemerlang UPSR dapat tawaran kemasukan ke SBP. Ini belum diambil kira murid-murid miskin yang setakat memperoleh 2A atau 3A sahaja. Bagi penulis mereka ini lebih cemerlang berbanding murid-murid yang datangnya daripada keluarga kaya raya dan memperoleh 5A. Mereka ini tidak boleh sesekali diabaikan. Penulis mengesyorkan agar sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah vokasional diperkasakan sehebat SBP, di samping membina lebih banyak SBP di pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak berbanding kini yang kebanyakannya berada di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya, Seremban dan Johor Bahru. Ini bagi memberi pendidikan terbaik kepada pelajar miskin yang tidak dapat memasuki SBP Premier yang kebanyakannya berada di bandar-bandar besar.

Di samping tumpuan terhadap pelajar yang cemerlang peperiksaan, golongan pelajar majoriti yang tidak bijak dalam peperiksaan juga tidak seharusnya dipinggirkan. Jika dipinggirkan, dibimbangi mereka akan terjebak dengan masalah sosial. Mereka ini mungkin kurang cemerlang dalam peperiksaan tetapi dalam hal-hal lain mereka mungkin lebih cemerlang berbanding yang memperoleh semua A. Perlu diingat, setiap insan ada kekuatan tersendiri. Justeru, penulis ingin mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran agar mempelbagaikan jenis sekolah di Malaysia dengan menubuhkan sekolah berteraskan perniagaan dan keusahawanan kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka ini rata-ratanya tidak begitu berminat dengan pembelajaran berteraskan peperiksaan semata-mata, di samping tidak mempunyai keupayaan untuk memilih profesion elit seperti doktor, akauntan dan jurutera. Bagi pandangan masyarakat majoriti, profesion elit sebeginilah yang menjamin masa hadapan anak-anak mereka walhal menurut Islam sumber utama kekayaan datangnya daripada perniagaan.

Malangnya di Malaysia, kursus-kursus perniagaan hanya diajar di peringkat universiti. Sewajarnya generasi muda didedahkan dengan asas perniagaan sejak di bangku sekolah lagi. Kalau kita teliti rata-rata ahli-ahli perniagaan yang berjaya telah memulakan perniagaan sejak berumur belasan tahun lagi. Mereka ini tidak dilatih secara formal dan hanya mempelajari selok-belok perniagaan dan keusahawanan melalui pengalaman sendiri. Pengalaman inilah yang amat berguna kepada mereka untuk menjadi usahawan dan ahli korporat yang berjaya dan kaya raya. Namun demikian, terdapat ramai juga yang tidak berjaya dalam perniagaan. Kebanyakan mereka ini mempunyai azam untuk berjaya dalam perniagaan, malangnya mereka tidak diterapkan dengan pelbagai disiplin ilmu perniagaan umpamanya bagaimana untuk mengurus kewangan perniagaan dengan baik. Ambil contoh terdapat ahli-ahli perniagaan yang baru setahun dua berniaga mengggunakan wang keuntungan perniagaan untuk membeli kereta mewah bagi tujuan peribadi. Wang keuntungan ini sepatutnya dilabur semula untuk memperkembangkan lagi perniagaan.

Ini baru bercakap mengenai modal belum lagi bercakap tentang bagaimana untuk membuat pelaburan dengan bijak supaya tidak mudah ditipu dengan orang lain. Di samping menguasai ilmu pengurusan kewangan, para pelajar juga sewajarnya didedahkan dengan prosedur yang betul untuk menubuhkan perniagaan. Kursus seperti ini akan membolehkan mereka mengetahui apakah jenis perniagaan yang mempunyai prospek yang baik pada masa hadapan. Umpamanya, mereka boleh didedahkan dengan perniagaan tani dan penternakan. Dalam perniagaan tani dan penternakan pula terdapat banyak cabang perniagaan yang boleh didedahkan kepada mereka. Malahan, aspek inovasi dan kreativiti serta teknologi maklumat dan komunikasi sewajarnya ditekankan dalam bidang perniagaan sebegini agar dapat menjana pendapatan lumayan di samping menampung permintaan pasaran tempatan. 

Ini baru beberapa subjek yang wajib diperkenalkan di sekolah yang berteraskan perniagaan dan keusahawanan. Terdapat banyak lagi kursus yang boleh diajar kepada mereka. Sesi pembelajaran pula bukan setakat teori sahaja tetapi juga mereka sewajarnya didedahkan dengan dunia perniagaan sebenar. Yakinilah, jika sekiranya sekolah sebegini berjaya kelak, ia akan melahirkan lebih ramai lagi ahli perniagaan di kalangan generasi muda pada masa akan datang, bahkan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat serta memperkasakan lagi keupayaan ekonomi Malaysia.

Sumber :
Utusan Malaysia
3 Januari 2013

ISU UMUM : PASTIKAN DASAR PERIKLANAN NEGARA DIGUBAL PADA TAHUN 2013


Rencana ini ditulis oleh :
Prof. Madya Mohamad MD Yusoff
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM)


Industri iklan negara semakin pesat berkembang dan menjana pendapatan hampir RM10 bilion pada 2012 dan menyumbang 1 peratus (%) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Sejajar dengan kepesatan industri iklan dan media negara ini, agensi iklan menjadi pemangkin dan penggerak industri media dan sekali gus menjanakan pertumbuhan industri hiliran dan sokongan seperti penerbitan filem animasi. Bahkan dengan adanya Dasar Industri Kreatif, agensi iklan Melayu sewajarnya semakin lestari sifatnya dan semakin kukuh wawasan dan hala tujunya. Namun, isu besar yang dihadapi sekarang ialah sejauh manakah agensi iklan kita mampu bernafas dan melestarikan kelangsungan hidup mereka? Mampukah agensi iklan Melayu bersaing di persada global jika soal kelestarian pelanggan/klien yang 'kritikal' menghantui agensi iklan kita dan dihambat pula oleh hala tuju syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang kian kurang jelas ke arah membantu keusahawanan agensi iklan Melayu dan sekali gus media berbahasa Melayu khususnya industri persuratkhabaran.

Permasalahan industri iklan kita tanpa kementerian yang memayunginya juga menjadi cabaran besar pada 2013? Apakah Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian (KPKK) sudah cukup lagi mampu menangani isu dan cabaran industri iklan? Persoalan yang besar ialah industri iklan begitu luwes menerima kemasukan pemain luar dan asing sehingga kemelut MNCs (syarikat besar asing) mudah bertapak dalam industri yang sudah menjadi satu fait accompli. Industri iklan tidak dilindungi mahupun dikawal selia? Globalisasi sebagai satu wajah, wadah dan wahana mahupun instrumen perdagangan luar, seolah-olah memangkinkan industri iklan berkembang dan hidup segar. Dalam konteks ini, soal teknologi, kepakaran dan saiz pelanggan serta jaringan tidak menjadi masalah besar kepada MNCs selagi dasar liberalisasi dan pintu terbuka menjadi pegangan negara. Hal ini menjadi masalah kepada agensi iklan Melayu? Justeru, kementerian yang bertanggungjawab terhadap industri iklan keseluruhannya perlu memastikan satu Dasar Periklanan Negara digubal segera demi memelihara kepentingan Melayu dalam industri ini yang serba berpotensi menjana pendapatan yang besar.

Menerusi suruhanjaya industri periklanan negara, isu dan cabaran sistem teknikal dan sosial diharap mampu ditangani seperti:

1. Kemampuan modal.

2. Perlindungan berterusan dalam konteks affirmative action'.

3. Dasar sokongan lestari.

4. Keantarabangsaan dan kepakaran.

5. Pengiklan dan agensi penguat kuasa/pelaksana yang tidak tulus, ikhlas dan amanah.

6. Akauntabiliti dan etika.

7. Pendidikan periklanan dan IMC yang lemah dan tidak membantu jihad ekonomi Melayu-Islam.

8. Kegiatan tidak tersusun menjayakan dasar pembinaan nusa bangsa menerusi pengisian Wawasan 2020.

Sesungguhnya industri iklan merupakan industri strategik negara dalam membentuk identiti, budaya dan komunikasi berkiblatkan tempatan sepenuhnya. Sekali gus, ia menjadi instrumen dan wadah membantu perekonomian bumiputera yang sama rata sambil membina nusa bangsa menerusi pembangunan modal insan dan sosial dalam memupuk kelestarian budaya dan tamadun Malaysia yang holistik. Jika Dasar Periklanan Negara digubal pada 2013, maka industri iklan akan dapat mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara menerusi kerancakan iklan pembangunan sambil mempertingkatkan kesejahteraan negara menerusi pengagihan sumber kekayaan negara secara saksama.

Amalan industri periklanan dengan pintu terbuka dapat diregulisasikan sesuai dengan sistem sokongan dan bantuan yang lestari ke arah penstrukturan semula industri iklan negara berpaksikan slogan, Act Local, Think Global. Yang penting Dasar Periklanan Negara mesti berpandukan prinsip Rukunegara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar Pembangunan Nasional dan Program Transformasi Negara dan Wawasan 2020. Tentunya, Dasar Periklanan Negara berpandukan aspirasi negara, keperluan dan cita rasa masyarakat, sumber kekayaan negara, dan Perlembagaan Negara yang menuntut kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Maka sudah sampai masanya Majlis Iklan Negara (MIN) atau Suruhanajaya Periklanan Negara (SPIN) dibentuk pada 2013 jika Wawasan 2020 mahu direalisasikan dengan jayanya.

Sumber
Utusan Malaysia
2 Januari 2012
Related Posts with Thumbnails